22,948 kes harian tertinggi

PUTRAJAYA 19 Ogos – Malaysia mencatatkan kes positif Covid-19 harian tertinggi dua hari berturut-turut apabila 22,948 kes dilaporkan hari ini berbanding, 22,242 kes yang direkodkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata,  jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini kini meningkat kepada 1,489,460 kes.

Katanya, daripada kes harian yang dilaporkan hari ini, sembilan daripadanya adalah kes import manakala 22,939 adalah penularan tempatan.

Daripada 22,948 kes itu, sebanyak 457 kes (2.0 peratus) adalah daripada kategori 3, 4 dan 5 manakala sebanyak 22,491 kes (98.0 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19. Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Sementara itu, kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 harian mencatatkan rekod tertinggi setakat ini dengan 21,720 kes.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kes sembuh kini 1,220,446 atau 81.94 peratus daripada sejumlah 1,489,460 kes positif setakat ini.

Katanya, sebanyak 178 kes kematian juga dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian membabitkan Covid-19 kini mencecah 13,480 kes.

Selangor merekodkan 65 kematian diikuti 36 kes di Johor, 23 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 11 di Sabah, masing-masing lapan kes di Pulau Pinang, Pahang, dan Melaka, lima kes  di Kelantan, masing-masing empat kes di Negeri Sembilan, Sarawak, dan Terengganu, serta masing-masing satu kes di Kedah dan Perak.

Seramai 1,060 pesakit Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 528 memerlukan bantuan pernafasan manakala kes aktif sebanyak 255,534 kes.

Related posts

Leave a Comment