Kenapa sanggup mencuri di lubuk saham akhirat?

PENCURI ada di mana-mana walaupun di masjid atau surau. Mereka datang dalam pelbagai wajah. Lelaki boleh bertukar menjadi wanita, yang jahat bertukar menjadi ‘alim’ kononnya mahu berjemaah bersama. Seperti berlaku baru-baru ini, seorang pemuda menyamar sebagai wanita untuk mencuri barangan milik jemaah di surau wanita pusat beli-belah Sunway Pyramid, Bandar Sunway.

Akhirnya dia tertangkap dan dihukum penjara lapan bulan. Memang dasar pencuri yang tidak pernah serik, pemuda berusia 21 tahun itu menyolek wajahnya menyerupai wanita dengan memakai tudung Pucci bagi memudahkannya menyelinap masuk ke surau wanita. Begitulah kesungguhan pencuri untuk mencuri. Di mana ada ruang di situ mencari peluang. Berdasarkan kertas pertuduhan, pemuda itu dituduh mencuri dompet dan didakwa mengikut 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Untuk apa mencuri? Tidak ada kerja kerana status banduan? Sebelum banduan, apa pekerjaannya? Tentu pekerjaan tidak baik sehingga menjadi banduan. Mencuri di masjid atau surau adakah sekadar
mahu mendapatkan sedikit wang untuk sesuap nasi atau ingin menjadi kaya dengan segera? Jika
ingin hidup mewah mungkin sasarannya bukan tabung masjid atau meragut ketika orang sedang solat. Mungkin untuk senang hidup (itu pun jika terlepas/tidak dapat dikesan) sasarannya sudah tentu bank, kedai emas, atau mana-mana lokasi yang menjanjikan wang yang lebih lumayan.

Justeru untuk apa mencuri di kawasan masjid/surau lebih-lebih lagi ketika orang sedang beribadat?
Sasaran kecurian ialah wang tabung masjid, sejadah, peralatan seperti alat siaraya, kipas dan juga
barang-barang berharga jemaah. Di luar masjid pula, sasarannya kereta jemaah yang diletakkan di
kawasan letak kereta yang mungkin jauh dan sunyi. Dasar pencuri, jika di dalam masjid boleh
dilakukan, inikan pula di luar masjid. Cermin kereta dipecahkan dan apa yang bernilai dilarikan. Jemaah sering diperingatkan supaya menjaga barangan peribadi mereka ketika solat. Tetapi jika
ditakdirkan menjadi mangsa pencuri, apa nak dikatakan lagi. Apabila berlaku, untuk menyedapkan
hati, maka ada yang berkata sudah rezeki pencuri. Rezeki pencuri? Apakah status rezeki itu? Ya
pencuri tidak peduli status ‘rezeki’ dengan mencuri walaupun hak masjid/surau atau jemaah yang sedang beribadah.

Baru-baru ini semasa pulang ke kampung, teringat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial. Kecurian di masjid kampung saya, Masjid An-Nur, Guar Perahu. Kerugian dianggarkan bernilai RM800 termasuk wang tunai RM350. Turut lesap telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank, lesen memandu yang semuanya itu menyusahkan mangsa. Sebelum itu rakan di Kuala Lumpur secara sinis memaklumkan kecurian itu. Katanya di kampung pun berlaku kecurian ketika orang sedang sujud di dalam masjid. Saya hanya tersenyum sambil di dalam hati berkata: memalukan kampung! Entah siapalah remaja bertopi keledar itu yang sanggup memalukan nama baik masjid. Memang wanita itu ‘dipilih’ untuk dijadikan mangsa di masjid berkenaan. Sudah tentu  sepanjang perjalanan dari Pokok Sena, banyak surau atau masjid ditempuhi tetapi masjid di Kampung Guar Perahu juga menjadi pilihan untuk solat maghrib, kebetulan ada pasar malam di kampung itu. Perkara sudah berlaku, semoga menjadi pengajaran kepada semua bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga orang lain. Lebih berhati-hati jika solat lebih-lebih lagi jika membawa bersama barang berharga. Entah suatu masa nanti mungkin ada manusia yang dalam keadaan terdesak akan mengutip satu persatu telefon bimbit yang diletakkan di atas sejadah ketika jemaah sedang solat. Mungkin ketika itu jemaah tidak lagi khusyuk. Sebelum ini kes curi kasut sudah menjadi lumrah. Ada drama juga yang memaparkan kisah ini. Dulu ‘tersasul’ mengambil kasut sudah biasa, datang kasut biasa pulang kasut berjenama.

Ketika ini pelbagai kaedah digunakan oleh pencuri. Ada kes mangsa mungkin diekori dari lokasi asal sehingga ke destinasi. Mangsa mungkin mempunyai ‘umpan’ yang mendorong penjenayah mengekorinya sehingga ke lokasi terakhir.

Di masjid, ada suspek menggunakan telekung di ruang solat wanita dan memakainya ketika mengambil wang dari tabung di ruang solat bagi mengelak wajahnya dirakam kamera. Ada juga yang menggunakan batang lidi atau dawai yang dilekatkan gula-gula getah atau gam di hujungnya untuk menarik wang dari dalam tabung. Begitulah kreatifnya pencuri.

Apakah yang mampu dilakukan bagi membendung kegiatan mencuri di rumah ibadat ini?
Pemasangan CCTV masih belum mampu menyelesaikan kes kecurian ini. Pencuri sudah faham mengenai CCTV. Mungkin kotak keselamatan dapat membantu jemaah menyimpan barang berharga m ereka ketika solat, bukannya mengambil langkah mudah meletakkan di atas sejadah yang membuka
ruang dan peluang. Jemaah tidak boleh alpa kerana musuh dalam selimut dan musang berbulu ayam sentiasa berkeliaran.

Usaha mengesan pencuri juga perlu dilakukan lebih-lebih lagi jika melibatkan anak kariah tempatan. Dekati mereka. Bimbing mereka supaya tidak menjadikan lubuk saham akhirat itu sebagai lubuk mencari rezeki secara tidak sah.

Kepada jemaah, atau jawatankuasa masjid, bagaimana jika seseorang yang berniat mencuri itu berterus terang? Apa tujuannya mahu mencuri? Sudah tentu akan ke balai polis.

Jika benar pencuri terdesak, adakah pihak masjid/surau sedia membantu? Bersediakah pencuri
menjelaskan kepada pihak masjid mengenai masalahnya dan bersediakah pula pihak masjid mendengar masalah pengadu? Pencuri yang terdesak kerana malu berterus terang akan meneruskan pekerjaan kejinya kerana tahu itulah sumber pendapatan mudah, jika terlepas dia selamat.

Jika ada yang terdesak, mungkin mereka tidak mahu mengadu kepada jawatankuasa masjid kerana kerenah birokrasi. Mungkin sebelum diberi bantuan, pengadu akan ‘disekolahkan’ terlebih dahulu. Alangkah indahnya jika masjid dan ‘pencuri’ dapat bersemuka menghuraikan segala permasalahan. Kecurian di masjid/surau perlu dibendung. Kenali masalah dan puncanya. Siapakah pencuri ini? Adakah mereka remaja lepasan sekolah yang tercicir, penganggur yang malas bekerja atau penagih dadah. Kenapa mereka sanggup membuat dosa di masjid/surau? Sesuatu perlu dilakukan bagi menginsafkan golongan ini. Carilah jalan keluar supaya mereka yang beribadah di dalam masjid terasa selamat. Biar masjid menjadi tempat ibadah yang selamat, tanpa perlu dikunci kerana takut diceroboh pencuri sejadah, tabung, kipas dan sebagainya.

UMA270317010C#

Related posts

Leave a Comment