29 kes tempatan di Singapura

SINGAPURA 19 Ogos – Singapura melaporkan 29 kes tempatan baharu Covid-19 dan tiga kes import setakat pukul 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 66,366 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), sebanyak 13 kes tanpa hubung kait dengan kes terdahulu, 11 kes terkait dengan kes lalu dan sudahpun dikuarantin dan lima lagi kes berhubung kait dikesan melalui ujian pemantauan.

Selain itu, terdapat tiga kes import yang sudahpun diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di negara ini.

Satu daripada kes-kes jangkitan itu dikesan sewaktu tiba di sini, manakala dua lagi sakit semasa menjalani tempoh SHN atau pengasingan.

Sementara itu seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun yang belum divaksinasi meninggal dunia pada Isnin, 16 Ogos kerana komplikasi Covid-19.

Lelaki itu yang dikenal pasti sebagai kes 67560, adalah korban kesembilan akibat Covid-19 di Singapura pada bulan ini.

Beliau mengalami batuk pada 2 Ogos dan dibawa ke Hospital Raffles sehari selepas itu kerana mengalami masalah jantung.

Lelaki itu mempunyai sejarah kegagalan buah pinggang tahap akhir, masalah jantung kardiomiopati iskemik, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Setakat Rabu, 46 orang di Singapura telah meninggal dunia kerana komplikasi Covid-19.

Related posts

Leave a Comment