GPS rahsiakan nama calon PM

KUCHING 18 Ogos – Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya mengemukakan satu nama yang disokong sebagai Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Abang Johari Tun Openg, berkata sokongan terhadap calon berkenaan dibuat secara sebulat suara oleh pemimpin GPS.

Bagaimanapun,  beliau enggan mendedahkan siapa pilihan GPS ketika ditanya idenditi calon berkenaan.

“Kami sudah mengemukakan nama kepada Istana Negara, tetapi saya tidak boleh mendedahkan siapa, saya tidak boleh mendahului Agong,” katanya selepas perjumpaan khas bersama Ahli Parlimen GPS di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada Anwar Ibrahim ada berhubung dengannya bagi menarik sokongan GPS terhadap Pakatan Harapan (PH), Abang Johari berkata ia tidak berlaku.

Sementara itu, Ketua Whip GPS, Fadillah Yusof juga enggan mendedahkan nama calon Perdana Menteri Ke-9 yang disokong GPS.

“Tunggu Agong umum, kita tidak mahu masuk campur urusan pemilihan Perdana Menteri,” katanya.

GPS yang menggabungkan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mempunyai 18 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah itu, PBB mempunyai 13 kerusi; PRS dan PDP masing-masing dua kerusi dan SUPP satu kerusi.

Related posts

Leave a Comment