JOHANNESBURG – Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa pihak berkuasa negara itu sedang “merampas tanah.”
Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap ancaman Trump yang mahu memotong bantuan berikutan dakwaan layanan buruk terhadap petani kulit putih.
“Afrika Selatan adalah sebuah demokrasi berperlembagaan yang berlandaskan kedaulatan undang-undang, keadilan dan kesaksamaan. Kerajaan Afrika Selatan tidak pernah merampas sebarang tanah,” kata Ramaphosa di platform X.
Katanya, Afrika Selatan mengalu-alukan perbincangan dengan pentadbiran Trump mengenai dasar pembaharuan tanah dan isu-isu berkepentingan dua hala.
Beliau juga menegaskan, walaupun AS adalah rakan strategik utama dalam bidang politik dan perdagangan, negara itu tidak memberikan pembiayaan yang signifikan kepada Afrika Selatan selain daripada program bantuan HIV/AIDS utama.
Kenyataannya dikeluarkan selepas Trump menulis di Truth Social pada Ahad bahawa beliau akan menghentikan semua pembiayaan kepada negara itu sehingga siasatan penuh dilakukan terhadap dakwaan bahawa “Afrika Selatan sedang merampas tanah dan melayan golongan tertentu dengan SANGAT TERUK.”
Dasar perkauman masa lalu telah menyebabkan penduduk kulit hitam dan bukan kulit putih Afrika Selatan secara paksa diusir dari tanah mereka untuk kegunaan penduduk kulit putih.
Sejak negara itu keluar daripada era apartheid dan mengadakan pilihan raya demokratik pertamanya pada tahun 1994, perlembagaannya telah mengandungi peruntukan untuk pengagihan semula dan pemulangan tanah.
Namun begitu, kadar pengangguran dan kemiskinan kekal tinggi dalam kalangan penduduk kulit hitam, yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada jumlah penduduk, tetapi hanya memiliki sebahagian kecil daripada tanah di negara itu.
Pada Januari lalu, Ramaphosa telah menandatangani satu rang undang-undang yang menetapkan garis panduan baharu bagi pengambilan tanah, termasuk membenarkan kerajaan mengambil tanah tanpa pampasan dalam keadaan tertentu.
Dalam hantaran di X pada Isnin, Ramaphosa menegaskan, undang-undang itu “bukan satu alat rampasan,” tetapi satu proses undang-undang yang “memastikan akses tanah secara adil dan saksama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.”
Nnnn