Serah surat akuan pilih PM esok

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Semua anggota Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke-9.

Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang esok (18 Ogos) untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis yang mesti disahkan benar.

Arahan berkenaan dikeluarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Azhar Azizan Harun kepada semua Ahli Parlimen di atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Surat akuan itu juga perlu melengkapkan butiran yang disenaraikan antaranya meletakkan hanya satu calon Perdana Menteri sahaja, tanda tangan anggota Dewan Rakyat, cop rasmi saksi dan tarikh surat akuan.

Ahli-ahli Dewan Rakyat juga diminta untuk menjaga kerahsiaan surat akuan berkenaan sehingga satu keputusan diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Azhar Azizan dalam notis itu berkata : “Adalah dimaklumkan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat baginda mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri,”.

“Pada pelaksanaan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat untuk menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh yang berhormat untuk menjadi Perdana Menteri yang kesembilan,” kata Azhar.

Azhar turut memaklumkan, sekalipun surat akuan tersebut tidak mempunyai format yang tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran-butiran berikut:

* Identifikasi Yang Berhormat secukupnya.

* Identifikasi yang secukupnya seorang sahaja ahli Dewan Rakyat yang yang diberikan kepercayaan, penyataan kepercayaan oleh Yang Berhormat.

* Pernyataan yang terang, jelas dan tanpa syarat.

* Tandatangan Yang Berhormat.

* Tandatangan atau cop rasmi saksi (sama ada seorang Peguambela dan Peguamcara, Pesuruhjaya Sumpah, Notari Awam atau jawatan yang setanding bagi Yang Berhormat yang berada di luar negara.

* Tarikh surat akuan.

Menurut Azhar juga, serahan surat akuan melalui tangan juga tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada di dalam kawasan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 dan juga untuk mengelakkan penularan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment