PM : Nombor tidak jamin kestabilan

KATA Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi : “UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon,”

Dan paling terharu apabila beliau menyatakan “Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri (PM) walaupun mengepalai sebuah parti terbesar,”.

Itu kenyataan Ahmad Zahid semalam bagi mengulas ‘kejayaan’ UMNO yang turut membantu meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang di dalamnya ada pimpinan UMNO sebagai anggota Kabinet.

Ini contoh yang baik, sekurang-kurangnya membawa satu norma baharu politik bahawa Presiden tidak semestinya mengetuai kerajaan, lebih-lebih lagi parti yang ‘tewas’ dan tidak memiliki majoriti yang bernama Barisan Nasional (BN).

Jangan anggap semua presiden parti gila kuasa, kemaruk mahu merebut kuasa atau mempertahankan kuasa hanya disebabkan jawatan. Timbalan Presiden, Naib Presiden malahan di peringkat bawah pun boleh asal pimpinan merestuinya.

Di luar Majlis Tertinggi (MT) UMNO pun ramai yang hebat-hebat lebih-lebih lagi yang aktif bercakap dan menulis. Mereka ini jika diberi tanggungjawab, mungkin juga boleh ‘mengusir’ Covid-19 dalam masa yang singkat.

Apa pun episod berikutnya adalah siapa bakal PM ke 9.

Dalam episod lepas, sepatutnya ada adegan menguji keabsahan PM Muhyiddin Yassin tetapi terpaksa ‘dipotong’ apabila UMNO yang juga berada dalam kerajaan PN menarik balik sokongan kepada PN walaupun tidak semua patuh keputusan itu.

Muhyiddin terus ‘ditekan’ dan akhirnya PM meletak jawatan selepas usahanya untuk mengajak pembangkang bekerjasama atau disebut ‘rentas parti’ tidak dilayan sebaliknya dipersendakan.

Peletakan jawatan itu sudah tentu satu kemenangan buat UMNO dan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa mencari jalan bagaimana mahu meruntuhkan kerajaan PN.

Sekarang pucuk dicita ulam mendatang. PH mendapat peluang untuk kembali berkuasa selepas keributan yang berlaku di dalam PN.

Episod terakhir sehari dua ini adalah untuk mencalonkan siapa yang layak. Bagi UMNO terserah kepada kebijaksanaan Majlis Tertinggi (MT). Mereka lebih bijak mengaatur strategi.

Ada ramai Ahli Parlimen (MP) UMNO, itu pun nasib baik Kumpulan 23 itu  tidak dipecat semasa UMNO memutuskan menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin. Jika tidak tinggallah Kumpulan 15 memilih siapa dalam kalangan mereka.

Calon tunggal PH sudah tentu Anwar Ibrahim. Eloklah seorang sahaja. Sepakatlah. Jangan pula ada yang calonkan nama lain seperti, Mat Sabu, Dr Wan Azizah, Lim Guan Eng dan sebagainya. Jika begitu sampai bila pun tidak selesai.

Begitu juga parti lain. Bagaimana pula Pejuang? Adakah Dr Mahathir dicalonkan sekali lagi? Warisan pula adakah akan menyokong Anwar atau Presidennya Shafie Apdal? Begitu juga dengan Bersatu, Pas atau atas nama PN.

Adakah PN akan beri laluan kepada UMNO? Jika begitu siapa? Ikut kedudukan sekepas Zahid menolak adalah orang No.2 tetapi Mohamad Hassan bukan Ahli Parlimen. Maka terdekat adakah Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob.

Tetapi jika Kumpulan 23 dan Kumpulan 15 tidak sekata, sama ada mengemukakan nama Ismail, bekas Timbalan Perdana Menteri atau Tengku Razaleigh Hamzah atau siapa sahaja, masalah tidak akan selesai.

Apa pun realitinya jika PN + UMNO serta PH  dapat mengemukakan satu nama mewakili kelompok masing-masing, peluang mereka tetap ada.

Sebaliknya jika ada beberapa nama dicalonkan disebabkan dendam politik yang tidak berkesudahan, maka lebih baik lantik sahaja PM darurat atau PM Interim sehingga pilihan raya umum akan datang. Utamakan rakyat.

Ini kerana nombor yang ada sekarang belum dapat menjamin kestabilan politik yang berterusan seperti berlaku terhadap kerajaan PH dan PN sebelum ini.

Walaupun pelantikan PM Interim tiada dalam Perlembagaan, namun keperluan itu penting dalam menstabilkan semula politik selain isu kritikal lain khususnya membabitkan aspek kesihatan awam iaitu memerangi Covid-19.

Related posts

Leave a Comment