Kerjasama dalam kerajaan tidak terikat

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Setiap parti termasuk UMNO yang membentuk Kerajaan Perpaduan bebas menentukan hala tuju dan rakan politik masing-masing pada sesuatu pilihan raya, kata Setiausaha Agung UMNO,  Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan tidak semestinya diteruskan  selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan keputusan untuk bergerak secara berasingan tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan.

“Setiap parti mempunyai hak menentukan hala tuju dan bentuk kerjasama politik. Johor tidak terpakai. Negeri Sembilan tidak terpakai. Bila kita bubar sahaja, maknanya terserah kepada parti-parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

Saya tidak menjangkakan di Sabah dan Sarawak pun mereka akan dictate untuk bekerjasama. Mereka ada hak untuk memilih rakan siapa yang mereka akan lakukan kerjasama politik,” katanya.

Justeru semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan perlu kembali merujuk intipati serta perkara yang dipersetujui dalam perjanjian pembentukan kerajaan berkenaan.

Dr. Asyraf Wajdi mendakwa, terdapat beberapa perkara yang kini dilihat semakin longgar sehingga timbul pelbagai tohmahan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk dakwaan parti itu mengkhianati mana-mana pihak.

“Rujuk kembali intipati Kerajaan Perpaduan Malaysia itu. Banyak perkara yang hari ini mulai longgar dan semacam pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk mengatakan bahawa BN ataupun UMNO melakukan pengkhianatan.

“Sedangkan kita tidak pernah mengkhianati sesiapa. Perjanjian kita hanya terpakai sehingga pilihan raya,” katanya semasa sidang akhbar di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, perkara yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan perlu dihormati, termasuk penetapan nama kerajaan sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Menggunakan war cry, menggunakan gagasan Madani itu tidak ada masalah. Tetapi apabila menonjolkan Kerajaan Madani berbanding dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagaimana yang disepakati, itu perkara pertama sebenarnya dalam perjanjian 18 perkara.

“Dalam perjanjian permulaan perundingan, perkara pertama disebutkan bahawa kerajaan yang ditubuhkan ini mestilah dinamakan dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Tegasnya, Kerajaan Perpaduan bukan kerajaan yang dibentuk oleh satu parti, sebaliknya melibatkan parti-parti yang bersetuju membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apabila Datuk Seri Anwar mengangkat sumpah, sebuah perjanjian yang melibatkan 18 parti dimaktubkan dan perjanjian itu dinamakan Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Maknanya kerajaan ini bukan kerajaan satu parti. Jadi Perdana Menteri mesti sentiasa merujuk kepada kesemua parti yang membentuk kerajaan ini,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, pendekatan itu berbeza dengan kerajaan yang mempunyai majoriti mutlak dan hanya bergantung kepada sokongan satu parti atau gabungan tertentu.

“Tetapi apabila kerajaan itu adalah Kerajaan Perpaduan, it’s a unity government, maka rundingan dan perbincangan perlu dibuat dengan semua parti yang membentuk kerajaan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment