Belum ada varian Lambda dikesan

PUTRAJAYA 17 Ogos – Kementerian Kesihatan belum mengesan kehadiran varian Lambda di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menafikan kemunculan varian itu ketika ditanya seorang pengguna di laman media sosial Twitter, pada Selasa.

“Tidak betul, kajian penjujukan genom terbaharu menunjukkan kesemua 43 sampel adalah varian Delta sebagai Varian Of Concern (VOC) yang dominan.

“Setakat ini tidak ada varian Lambda yang dikesan di negara kita,” katanya.

Sementara itu, di KUCHING, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, cara mencegah jangkitan Covid-19 tidak berubah tanpa mengira jenis varian.

Katanya, ia memerlukan orang ramai mengamalkan prosedur operasi standard (SOP)termasuk pemakaian pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal di tempat awam atau sebaiknya kekal duduk di rumah jika tiada urusan penting.

“Jangan menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan sosial, majlis atau sambutan keramaian buat masa ini kerana mungkin terdapat kehadiran individu yang dijangkiti sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohamed Sapian berkata mereka yang tidak sihat juga dinasihatkan supaya tidak pergi ke tempat kerja dan segera mendapatkan saringan serta rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala yang dikaitkan dengan Covid-19 seperti batuk, sakit tekak, sukar bernafas atau mengalami kelesuan.

“Langkah-langkah pencegahan ini walaupun nampak mudah namun ia tetap amat berkesan untuk membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Kenyataan tersebut menyusul selepas Sarawak sekali lagi mencatatkan angka kes harian melebihi 1,000 semalam dengan 1,566 kes sekali gus merupakan jumlah harian tertinggi di negeri ini direkodkan sejak Mac tahun lepas.

Ini merupakan kali kedua dalam tempoh empat hari Sarawak mencatatkan jumlah kes harian melebihi angka 1,000 selepas 1,216 kes dicatatkan Khamis lepas.

Related posts

Leave a Comment