Lima lagi kes positif Dewan Rakyat

PUTRAJAYA 15 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lima lagi kes positif Covid-19 ketika persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan kini 30 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada 30 kes itu, dua membabitkan Ahli Parlimen; masing-masing sembilan kes daripada pengiring dan pegawai agensi kerajaan; tujuh kes lain-lain iaitu ahli keluarga; dua kes kontraktor dan satu kes daripada kakitangan Parlimen.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata lima kes baharu itu sudah dimaklumkan pada 13 Ogos lalu, membabitkan lima sekeluarga, dengan kes pertama bergejala adalah individu yang menghadiri sidang Parlimen itu.

Tiga kes mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR antara 16.98 sehingga 22.76 iaitu kebolehjangkitan yang tinggi, manakala dua kes lagi adalah antara 28.98 sehingga 33.98.

Dr Noor Hisham berkata, mereka sudah lengkap mendapat dua dos vaksin selain hanya bergejala ringan dan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Beliau berkata, sehingga kini, jumlah keseluruhan kes dikesan berkaitan persidangan Parlimen adalah 102 kes termasuk lima kes baharu yang dilaporkan hari ini.

Pada masa sama, KKM bersama pihak Parlimen dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah berbincang mengenai beberapa penambahbaikan yang diperlukan sebagai persediaan pembukaan semula Parlimen bagi mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan sebelum dan ketika persidangan.

Beliau berkata, kesiapsiagaan itu terdiri daripada tindakan memastikan individu-individu pelbagai kategori dan dari pelbagai negeri yang hadir ke Parlimen berada dalam keadaan sihat dan tidak dijangkiti Covid-19 pada masa berkenaan.

Keadaan persekitaran serta bahagian dalaman Parlimen juga dikaji dan ditambahbaik supaya selamat dan kurang berisiko.

Sebagai persediaan, hanya individu dengan dos lengkap vaksin Covid-19 dibenarkan hadir; menjalankan saringan jangkitan sebelum Sidang Dewan Rakyat secara berkala semasa sidang dan tempoh 10 hari selepasnya dan mengemaskini status kesihatan kendiri setiap hari dalam aplikasi MySejahtera.

Related posts

Leave a Comment