83 kes baharu di Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN 15 Ogos – Kes Covid-19 di Brunei Darussalam semakin meningkat dengan 83 kes baharu direkodkan hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan 723 kes.

Menteri Kesihatan, Dr. Md Isham Jaafar pada sidang media situasi terkini jangkitan Covid-19 juga memaklumkan dua lagi kluster dikesan yang dikenali sebagai Kluster 495 yang mencatatkan dua kes dan Kluster 535 pula satu kes.

Katanya, Kluster Chung Hua KB yang melibatkan pelajar merekodkan 29 kes, Kluster 477 (6), Kluster Imigresen (4), Kluster Champion 7 (3), Kluster Total (1) dan Kluster BSP HQ (1).

Sebanyak 32 kes lagi belum diketahui sumber jangkitan manakala kes import pula melibatkan empat individu yang tiba di negara ini pada 1 Ogos lalu.

Dr. Md Isham juga memberitahu jumlah kes sembuh kekal 330 orang selepas tiada pesakit sembuh dilaporkan hari ini.

Bagaimanapun sebanyak 391 kes aktif direkodkan di mana dua pesakit dalam keadaan kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan dan dua lagi kes di bawah pemantauan rapi di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Beliau juga mengingatkan masyarakat termasuk yang sudah mendapatkan vaksin supaya terus menjaga kebersihan diri  termasuk kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

“Marilah kita bersama-sama mengamalkan zikir, doa dan amalan lain untuk memohon keampunan, petunjuk, taufik dan hidayah daripada Allah SWT supaya negara Brunei Darussalam sentiasa dilindungi daripada kemudaratan dan bencana  wabak Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment