Kes Covid-19 ibu hamil meningkat

PUTRAJAYA 11 Ogos – Sebanyak 3,396 kes Covid-19 yang dikesan sejak Mac 2020 hingga Jun lalu, membabitkan ibu hamil, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya jumlah kes membabitkan golongan itu dikesan meningkat bermula Oktober tahun lalu dengan purata 200 kes jangkitan sebulan.

Katanya, dianggarkan satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid-19 dan lonjakan kes dapat dilihat pada Mei lalu iaitu sebanyak 850 kes dan Jun lalu iaitu sebanyak 899 kes.

Dalam kenyataannya, trend peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan ibu hamil adalah sejajar dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di Malaysia secara keseluruhan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ibu hamil, mengambil kira golongan ini adalah kumpulan berisiko tinggi mendapat jangkitan teruk, selain individu yang mempunyai komorbid dan warga emas,

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 9 Ogos lalu, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan berbanding tiada kes sepanjang tahun lalu.

Jelasnya, bagi tahun ini, purata kes Covid-19 sejak Januari hingga Mei lalu adalah sebanyak dua kes pada setiap bulan.

Bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak Jun lalu iaitu sebanyak 17 kes kematian dan data menunjukkan dua kes daripada jumlah itu sudah menerima dos pertama vaksin, manakala 15 kes lain tidak menerima vaksin Covid-19.

Berdasarkan maklumat sedia ada, sebanyak 47 peratus daripada kes kematian yang dilaporkan, mempunyai komorbid.

Mengenai vaksinasi, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 8 Ogos lalu, seramai 146,759 ibu hamil sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

Katanya, daripada jumlah terbabit, seramai 83,251 (57 peratus) ibu hamil sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 20 peratus ibu hamil sudah lengkap menerima dua dos vaksin. Berdasarkan anggaran ibu hamil setahun, peratus ibu hamil yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin di aplikasi MySejahtera masih rendah iaitu sebanyak 40 peratus,” katanya.

Related posts

Leave a Comment