SEPANG 23 Dis. – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mengkaji semula perkara dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan struktur asas Perlembagaan kekal, jelas serta terpelihara.
Katanya, PN berpandangan bahawa kemelut Perlembagaan dan kekeliruan undang-undang yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan Madani sendiri dalam menangani isu kewujudan Titah Adendum sejak awal lagi.
“Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan mengkaji semula perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan kuasa prerogatif pengampunan bagi memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta struktur asas Perlembagaan kekal, jelas dan terpelihara,” katanya.
Pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, 72, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Alice memutuskan bahawa tahanan rumah dalam permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.
Menurut Hamzah, PN juga telah melantik peguam bagi mengikuti prosiding kes titah tersebut sebagai peguam pemerhati kerana prihatin dengan kesan prosiding Mahkamah Tinggi itu.
Katanya, urusan pengampunan merupakan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang wajib dihormati oleh rakyat. PN tidak mahu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dilihat sebagai ‘rubber stamp’ semata-mata.
“Walhal kuasa Baginda telah dinyatakan secara jelas dalam Laporan Suruhanjaya Reid demi memelihara kuasa dan prestij Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang telah diterjemahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Hakim Negara dalam kes tersebut memutuskan bahawa kuasa pengampunan merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang bersifat ‘non-justiciable’ (tidak boleh dicabar), sekali gus meletakkannya di luar bidang kuasa semakan kehakiman,” katanya.
Nnn
