Moderna lewat, vaksin lain dipilih

PUTRAJAYA 5 Ogos – Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) memilih mendapatkan vaksin daripada pembekal lain selepas jadual penghantaran vaksin Covid-19 jenis Moderna hanya boleh dilakukan pada suku ketiga tahun ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, pengeluar lain mempunyai jadual penghantaran bekalan yang lebih awal, seterusnya dapat mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Justeru, kementerian menafikan dakwaan seorang pengamal perubatan swasta, Dr Musa Nordin yang JKJAV tidak membuat perolehan vaksin jenis Moderna dan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) masih tidak mendaftarkan vaksin berkenaan kerana tidak diberikan sogokan yang mencukupi (not enough kickbacks).

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata perbincangan bagi perolehan vaksin jenis Moderna diadakan oleh KKM dengan syarikat pengeluar vaksin terbabit, ModernaTX Inc pada penghujung 2020.

Kenyataan itu berkata, ModernaTX Inc kemudian membuat tawaran rasmi vaksin kepada KKM pada 6 Disember tahun lalu, iaitu sebanyak 10 peratus daripada populasi Malaysia dan penghantaran bermula pada suku tahun ketiga hingga suku tahun keempat 2021.

Cadangan tawaran ModernaTX Inc dibawa untuk pertimbangan JKJAV yang berpendapat tawaran itu boleh dipertimbangkan.

Bagaimanapun, memandangkan penghantaran vaksin hanya dapat dibuat pada suku ketiga tahun 2021, maka JKJAV membuat keputusan perolehan perlu dibuat segera dengan pengeluar lain yang dapat membekalkan vaksin Covid-19 lebih awal bagi mempercepatkan pelaksanaan PICK.

KKM mengulas dakwaan sogokan dalam proses perolehan vaksin Covid-19 yang dibangkitkan oleh Dr Musa dalam sesi temu bual di saluran Astro Awani yang kemudian dilaporkan dalam portal Malaysia Now bertarikh 3 Ogos 2021.

Kementerian itu berkata, ModernaTX turut diminta untuk mengemukakan permohonan pendaftaran vaksin kepada NPRA, yang hanya dikemukakan pada Julai 2021 melalui syarikat yang dilantik oleh ModernaTX Inc.

Katanya, NPRA sedang melaksanakan penilaian secara laluan khas dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam masa terdekat.

Memandangkan kerajaan sudah mempunyai portfolio dan jumlah dos yang mencukupi untuk vaksinasi populasi di Malaysia, kerajaan akan membuat keputusan keperluan vaksin berkenaan sebaik vaksin berkenaan diluluskan pendaftarannya oleh NPRA.

Ini termasuk penggunaannya sebagai dos penggalak (booster shot) atau secara heterologi.

Related posts

Leave a Comment