PH mahu sidang khas 9 Ogos

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Pakatan Harapan (PH) – gabungan PKR, DAP dan Amanah mendesak sidang khas Parlimen pada 9 Ogos ini bagi memutuskan segera isu sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan, hari ini, berkata perkara berhubung sokongan itu boleh disahkan tanpa sebarang keraguan menerusi sidang khas Parlimen dengan satu urusan saja, iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi percaya terhadap Muhyiddin.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan menangguhkan pembentangan usul undi percaya berkenaan di Dewan Rakyat hingga September depan adalah sangat tidak wajar.

“Selagi mana ia ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan.

“Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun lalu, betapa pentingnya kerajaan stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat.

“Rakyat yang terus tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik COVID-19, termasuk jumlah kes dan kematian begitu tinggi setiap hari, mewajibkan kita menyelesaikan masalah ini sekarang,” kata kenyataan itu.

Kenyataan “Mahiaddin Mengelirukan YDP Agong Dalam Isu Majoriti Satu Penderhakaan Tertinggi “ dikeluarkan bersama oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Melalui kenyataan itu, Majlis Presiden PH mengulangi pendiriannya serta semua parti dalam blok pembangkang, termasuk Ahli Parlimen yang telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin, mendesak sidang khas Parlimen diadakan pada 9 Ogos ini bagi memutuskan isu berkenaan.

Mereka turut meminta semua penjawat awam, terutama badan penguat kuasa, supaya terus bertindak secara profesional dan neutral.

Dalam perutusan khas semalam, Muhyiddin menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan kedudukan kerajaan PN akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat, September depan.

Perdana Menteri dipetik berkata, beliau sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, dan cadangannya itu mendapat perkenan baginda.

Related posts

Leave a Comment