Cacar monyet kanak-kanak di AS

PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengesan kes jangkitan cacar monyet dalam kalangan kanak-kanak melibatkan seorang kanak-kanak di California dan seorang bayi yang bukan penduduk AS.

Dua kes tersebut tidak berhubung kait dan berkemungkinan disebabkan penularan dalam kalangan keluarga.

CDC AS dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kanak-kanak itu dalam keadaan yang baik dan sedang menerima rawatan. 

Cacar monyet, iaitu penyakit virus yang menyebabkan gejala seakan-akan demam selesema dan luka pada kulit, merebak dengan pantas di luar negara Afrika barat dan tengah di mana ia merupakan endemik. Penyakit itu menular menerusi kontak rapat. 

Setakat ini, terdapat lebih 14,000 kes cacar monyet yang dilaporkan di lebih 60 negara, dan lima kematian di Afrika. 

Timbalan Pengarah Jabatan CDC bagi Patogen dan Patologi Kesan Tinggi Dr Jennifer McQuiston berkata, ia bukan sesuatu yang mengejutkan bahawa kes pediatrik cacar monyet sudah muncul. 

Penyelaras Respons Covid-19 di Rumah Putih Dr Ashish Jha, berkata pemerintah sudah mendapatkan 300,000 dos vaksin cacar monyet dan sedang berusaha untuk mempercepat penghantaran dari Denmark bagi tambahan 786,000 dos. 

Beliau berkata, vaksin yang ada mencukupi untuk memberikan suntikan dos pertama kepada lebih 50 peratus penduduk yang layak di New York dan lebih 70 peratus di Washington DC. 

Tambah Dr Jha, AS masih menilai sama ada penularan cacar monyet ini harus diisytiharkan sebagai darurat kecemasan awam. 

Related posts

Leave a Comment