Fasa 3 PPN Perlis, Sarawak, Labuan

PUTRAJAYA 3 Ogos – Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan beralih ke fasa tiga kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin berkata, keputusan itu dibuat hasil penelitian perkembangan semasa PPN yang dibentangkan Menteri Penyelaras PPN, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam mesyuarat hari ini.

“Sukacita ingin saya umumkan bahawa Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang menunjukkan prestasi amat baik akan beralih ke fasa tiga PPN berkuatkuasa Rabu. Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

“Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat. Tahniah dan syabas saya ucapkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri juga mengingatkan supaya prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang sudah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

Muhyiddin berkata, pada mesyuarat sama, turut diperincikan kemudahan kepada individu yang sudah lengkap menerima vaksin selain kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

“Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Insya-Allah kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambilkira keselamatan rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment