Kes di Thailand terus melonjak

BANGKOK 18 Julai – Thailand terus merekodkan kes harian tertinggi apabila jumlah kes melonjak menjadi 11,397 berbanding 10,082 yang direkodkan semalam.

Bagaimanapun jumlah kematian kurang sedikit dengan merekodkan 101 kes hari ini berbanding 141 semalam.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 403,386 dengan kematian 3,341 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 11,079 kes adalah dalam kalangan masyarakat awam termasuk sembilan kes import manakala 318 kes melibatkan banduan.

Mengikut rekod, sejak gelombang ketiga pandemik, sebanyak 374,523 kes direkodkan dan 256,484 orang telah sembuh.

Manakala sejak pandemik bermula pada awal tahun lalu, Thailand mencatatkan 403,386 kes jangkitan, dengan 283,910 daripadanya sudah sembuh.

Angka kematian pula adalah sejumlah 3,247 sepanjang tempoh gelombang ketiga ini, sedangkan sejak pandemik bermula, jumlahnya adalah 3,341 orang.

Sehingga semalam, 116,135 orang sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu, Thailand mengumumkan perintah sekatan pergerakan akan dilanjutkan ke tiga lagi wilayah lain iaitu Chonburi, Ayutthaya dan Chachoengsao.

Pusat beli-belah akan ditutup dan perintah berkurung dilaksanakan dari pukul 9 malam hingga 4 pagi mulai Selasa.

Perintah sekatan serupa sudah pun dilaksanakan di Bangkok dan sembilan lagi wilayah sejak Isnin lalu.

Related posts

Leave a Comment