Wakil Pas, Wawasan tinggalkan mesyuarat

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Wakil rakyat pembangkang memutuskan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat pagi ini.

Keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat,  Johari Abdul.

Pemakluman untuk tidak menyertai itu sidang khas itu dibuat Ketua Whip Perikatan Nasional (PN)  Takiyuddin Hasan, dan dipersetujui oleh Johari.

Susulan itu, Ahli-ahli Parlimen PN bangkit dari tempat duduk masing-masing secara bersama untuk mula beredar keluar dari dewan.

Bagaimanapun kumpulan pembangkang terdiri daripada enam wakil rakyat Bersatu tidak berbuat demikian dan akan mengambil bahagian dalam perbahasan.

Terdahulu, Takiyuddin bangun membangkitkan peraturan mesyuarat 13 meminta supaya sidang khas berkenaan RCI TH pagi ini ditangguhkan, dengan alasan ia tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim.

Beliau meminta sidang khas itu ditangguhkan sehingga Anwar kembali menghadiri persidangan Parlimen.

Bagaimanapun , Johari memutuskan ia tetap diteruskan seperti dijadualkan hari ini dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Perdana Menteri sedang menjalani rawatan oleh pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.

Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).

Takiyuddin berkata kehadiran Anwar penting bagi membolehkan penjelasan menyeluruh diberikan berhubung laporan itu, khususnya kerana Perdana Menteri sendiri sebelum ini membangkitkan perkara berkenaan.

Beliau berkata permintaan itu dikemukakan menerusi surat kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam, dengan mengambil kira keadaan kesihatan Anwar serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof, yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Memandangkan isu Tabung Haji amat penting dan mempunyai kepentingan awam yang besar, adalah wajar pembentangan dan perbahasan laporan ini dihadiri serta disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri apabila beliau kembali bertugas.

“Kehadiran beliau di Dewan Rakyat penting bagi memberikan penjelasan menyeluruh, lebih-lebih lagi beliau sendiri yang membangkitkan perkara ini,” katanya.

Takiyuddin berkata permintaan itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3), yang membolehkan Perdana Menteri memanggil sidang khas Dewan Rakyat lebih awal daripada tarikh ditetapkan atas kepentingan awam.

Katanya, peruntukan sama turut memberikan kuasa dan budi bicara kepada Perdana Menteri untuk menangguhkan sidang berkenaan.

Beliau berkata tiada alasan kukuh untuk sidang diteruskan mengikut jadual, memandangkan prosiding hari ini hanya membabitkan penjelasan menteri berhubung laporan RCI dan bukannya perbahasan rasmi atau pengundian.

“Saya menerima pengesahan daripada kerajaan bahawa tiada pengundian hari ini. Oleh itu, tiada keperluan mendesak untuk kita menyegerakan sidang ini,” katanya.

Takiyuddin turut mempersoalkan cara kerajaan mengendalikan laporan berkenaan dengan menyatakan salinan penemuan RCI hanya dibentangkan kepada Ahli Parlimen hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata laporan itu tidak lagi boleh dianggap di bawah embargo selepas Anwar secara terbuka merujuk kandungannya ketika berucap dalam kempen pilihan raya Negeri Sembilan di Port Dickson.

Takiyuddin berkata, Kabinet sebelum ini memutuskan laporan itu perlu dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum, namun mendakwa Perdana Menteri sudah membincangkannya ketika kempen pilihan raya berkenaan.

“Mengapa Perdana Menteri sendiri mendedahkan perkara ini ketika kempen pilihan raya Negeri Sembilan? Ini bermotifkan politik,” katanya.

Beliau menegaskan Anwar perlu hadir di Dewan Rakyat bukan sahaja untuk mendengar perbahasan, malah menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen serta memberikan ucapan penggulungan.

“Untuk menunjukkan bahawa Perdana Menteri bertanggungjawab, dengan rendah hati kami meminta supaya sidang ini ditangguhkan sehingga beliau dapat hadir.

Tanpa PM prosiding tiada beza dengan sidang media sahaja.

“Jika beliau hadir, kita boleh berbahas. Jika beliau tidak hadir, prosiding hari ini tidak ada bezanya dengan mengadakan sidang media,” katanya.

Menggunakan analogi prosiding mahkamah, Takiyuddin berkata sesuatu kes boleh dibatalkan sekiranya pemohon gagal hadir.

“Dalam perkara ini, Perdana Menterilah yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk memanggil sidang khas ini. Maka, adalah tidak wajar beliau tidak hadir bagi membincangkan perkara yang mempunyai kepentingan awam sebegitu besar,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment