Tidak ada usul undi tidak percaya

KUALA LUMPUR 18 Julai – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan tidak akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Parlimen Khas mulai 26 Julai hingga 2 Ogos ini.

“Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis COVID-19 dan kemelesetan ekonomi,” kata majlis itu.

Justeru dalam satu kenyataan hari ini, Majlis mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar membuka ruang perbahasan sewaktu sidang Parlimen Khas pada 26 Julai hingga 2 Ogos ini seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Majlis itu menegaskan tindakan tidak membuka ruang perbahasan sewaktu sidang Parlimen Khas akan datang seolah-olah menderhaka terhadap titah Baginda.

Majlis Presiden PH memberi amaran kepada kerajaan PN agar menghentikan pencabulan institusi demokrasi negara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 telah menzahirkan titah pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu lagi, Baginda juga telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021 yang senada dengan aspirasi rakyat yang mahu kemelut pandemik dan kemelesetan ekonomi berakhir.

Selain itu Ketua Pembangkang juga pada 12 Julai lalu juga telah menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa oleh Baginda.

“Malangnya kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos, hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment