Had 80 Ahli Parlimen masuk sidang

JOHOR BAHRU 18 Julai – Jawatankuasa Dewan Rakyat akan mencadangkan sidang Dewan Rakyat mulai 26 Julai ini dihadkan kepada 80 Ahli Parlimen dalam satu sesi persidangan, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon .

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Whip setiap parti politik dan

dijangka diputuskan minggu depan dengan cadangan pecahan kehadiran adalah 44 untuk Ahli Parlimen kerajaan dan 36 dari pembangkang.

“Cadangan ini sama seperti ketetapan bersidang pada tahun lalu, daripada 222 Ahli Parlimen hanya 80 saja yang boleh masuk. Kita ada sesi pagi dan petang, maka mereka boleh bergilir-gilir masuk tetapi perlu patuh SOP,” katanya.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula bersidang selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos ini.

Persidangan itu akan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara dan meminda perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, setiap menteri dan timbalan menteri juga akan dihadkan membawa staf.

Beliau berkata, semua soalan berkaitan Covid-19 akan dibentangkan mengikut peraturan dan dijawab menteri berkaitan.

“Yang mana tidak boleh berbahas kita bagi ruang untuk mengemukakan soalan. Cuma ada satu usul dibentangkan iaitu sama ada persidangan boleh dilakukan secara hibrid atau tidak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment