PdPR hingga 31 Ogos

PUTRAJAYA 17 Julai – Kementerian Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos ini berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.

Sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini.

Keputusan itu juga adalah hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN sekiranya terdapat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh berkenaan.

Sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal dan perincian lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka akan dibuat selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus ditingkatkan.

Katanya, sehingga semalam seramai 253,366 atau 61.3 peratus guru dan pentadbir serta 10,876 atau 46.33 peratus kakitangan sokongan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Related posts

Leave a Comment