Rayuan haji dibuka mulai 2 Oktober

SEPANG 28 Sept. – Permohonan rayuan bagi mengerjakan ibadah haji musim 1448H/2027M akan dibuka mulai 2 Oktober ini menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, proses pembukaan rayuan lebih awal itu bagi memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persediaan awal dari aspek kewangan, kesihatan, dan ilmu.

Katanya, ia juga selari dengan pembudayaan konsep istito’ah (kemampuan) yang sedang giat diterapkan oleh TH kepada masyarakat Islam negara.

“Kadar bayaran haji yang ditetapkan kepada jemaah haji terpilih melalui proses rayuan adalah kos haji penuh iaitu RM33,300 bagi musim haji 1448H/2027M, bertepatan dengan konsep istito’ah dalam kewajipan menunaikan haji.

“Permohonan rayuan terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sebanyak RM15,000 dalam akaun TH masing-masing,berdasarkan kadar bayaran haji terendah untuk kumpulan B40,”  katanya dalam satu kenyataan.

Mustakim berkata TH turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kempen #menujuistitoah dan pelan Seruan Istito’ah bagi membantu pendeposit membuat persediaan haji secara berstruktur sejak awal.

Bagi permohonan rayuan luar giliran tahun haji semasa, TH memperkenalkan beberapa kriteria dan skor merit merangkumi tempoh pendaftaran, umur, purata baki simpanan akaun TH, simpanan berulang yang konsisten, kekerapan permohonan rayuan dan juga kekerapan kehadiran Kursus Asas Haji yang dikendalikan oleh TH.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, TH memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah warga tua, dan pengiring jemaah Orang Kurang Upaya (OKU) yang terpilih bagi musim berkenaan.

“Kadar Bayaran Haji yang ditetapkan bagi jemaah yang berjaya dalam permohonan rayuan mahram atau pengiring adalah bersamaan dengan kadar yang ditetapkan kepada penerima tawaran haji giliran semasa yang diiringi pemohon rayuan mengikuti kumpulan B40, M40 atau T20.

“Bakal jemaah juga diingatkan supaya membuat persediaan kesihatan sewajarnya memandangkan kelulusan permohonan tertakluk kepada ujian saringan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Bakal haji turut dinasihatkan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu ibadah haji secukupnya dengan menyertai Kursus Asas Haji anjuran TH di lebih 200 masjid seluruh negara bermula 25 September lalu.

Maklumat, permohonan dan status rayuan haji boleh disemak menerusi aplikasi THiJARI atau www.thijari.com.my.

Bagi maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment