SEPANG 28 Sept. – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan beliau berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak pernah meninggalkan pegangan tersebut.
Justeru beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan ajaran New Age Movement (NAM) atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan Syariat Islam.
Menerusi satu kenyataan, beliau mengesahkan mengadakan pertemuan untuk memberi penjelasan dan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Berdasarkan pertemuan dan penjelasan yang telah diberikan, tiada pertikaian berhubung akidah saya dan tiada keterlibatan saya sama sekali dengan NAM.
“Nasihat yang diberikan adalah berkaitan beberapa hantaran lama saya yang memerlukan penjelasan, khususnya berhubung perkongsian kandungan, penglibatan dengan individu tertentu serta penggunaan beberapa istilah yang kemudiannya dikaitkan dengan NAM,” katanya.
Marhamah turut menjelaskan berkenaan beberapa individu yang dikaitkan dengan beliau dalam dakwaan tular iaitu Umar Paranorms; Afnan Rosli dan Ustaz Nasrullah.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang hubungan peribadi, hubungan perguruan atau kerjasama dengan Umar Paranorms berkaitan apa-apa ajaran atau fahaman.
Katanya pada tahun 2019, beliau pernah berkongsi satu hantaran Umar dalam konteks pembangunan diri, tanpa mengetahui kandungan atau istilah tertentu yang digunakan kemudiannya dikaitkan dengan unsur NAM.
Berkaitan Afnan Rosli pula, beliau mengakui pernah menghadiri sebuah program terbuka individu berkenaan sebagai peserta bagi tujuan mendapatkan ilmu berkaitan pembangunan diri.
“Hubungan saya terhad setakat itu sahaja,” katanya sambil menegaskan beliau tidak mengetahui mengetahui kandungan atau istilah tertentu yang digunakan kemudiannya dikaitkan dengan unsur NAM.
Sementara itu, ujarnya, pertemuan dengan Ustaz Nasrullah adalah semata-mata berkaitan urusan promosi sebuah filem, dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan NAM.
Beliau turut mengakui terdapat beberapa istilah yang pernah digunakan pada masa lalu dalam konteks pembangunan diri tanpa mengetahui istilah tersebut kemudiannya akan dikaitkan dengan unsur NAM.
“Sebagai Timbalan Menteri yang diamanahkan dalam portfolio Hal Ehwal Agama, saya komited dan akan terus memastikan setiap penyampaian dan pendekatan saya berpandukan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Nnnnn
