10 bekas Exco NS beri keterangan

SEREMBAN 28 Sept. – Sepuluh bekas Exco kerajaan Negeri Sembilan serta beberapa individu lain hari ini selesai memberi keterangan berhubung krisis takhta negeri dengan lebih 60 soalan dikemukakan pihak polis.

Proses rakaman percakapan oleh polis Bukit Aman berlangsung hampir tiga jam sejak 11 pagi, sebelum semua yang terbabit dilihat beredar dari Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini kira-kira pukul 2 petang.

Sesi rakaman percakapan itu bagaimanapun tidak membabitkan Menteri Besar, Ismail Lasim.

Salah seorang bekas Exco Mohd Asna Amin berkata mereka diambil keterangan secara berasingan dan mengambil masa sekitar 30 hingga 35 minit setiap seorang.

“Terdapat lebih 60 soalan dikemukakan dan dijawab, semuanya lebih kepada krisis yang sedang berlaku… kita di Negeri Sembilan ini unik undang-undang tubuhnya tidak sama dengan negeri yang lain.

“Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) menjadi panduan. Apa yang kita jawab apa yang kita tahu,” katanya kepada media di ruang legar menara berkenaan.

Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, berkata pihaknya dimaklumkan bahawa rakaman keterangan berkenaan tidak hanya membabitkan barisan bekas EXCO, sebaliknya pegawai-pegawai lain mungkin juga akan dipanggil.

Beliau percaya urusan berkenaan selesai, namun pihak Bukit Aman sudah tentu akan memaklumkan sekiranya terdapat keperluan untuk mengambil rakaman kedua selepas ini.

“Kami dimaklumkan rakaman keterangan susulan akan dibuat sekiranya ada keperluan,” katanya yang memaklumkan tiada berkaitan seksyen-seksyen tertentu ditetapkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Rakaman keterangan berkenaan dibuat pihak berkuasa susulan krisis pemerintahan Negeri Sembilan selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menarik balik pelantikan 10 Exco berkenaan.

Penarikan balik pelantikan itu dibuat seminggu selepas Exco terbabit mengeluarkan kenyataan bersama yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri.

Istana Negeri Sembilan sebelum ini memaklumkan bahawa Exco terbabit melanggar sumpah jawatan dan ikrar taat setia kepada pemerintah negeri yang dilafazkan pada 7 Ogos lalu.

Sepuluh bekas Exco itu terdiri daripada wakil UMNO iaitu Mustapha Nagoor (Palong), Mohd Faizal Ramli (Linggi), Zaiful Bahri Idris (Chembong),  Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui), Asna Mohd Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Tiga lagi ialah wakil MCA, Siow Kong Choon (Chennah); Fairuz Isa daripada Pas (Serting); serta  Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment