Kluster KTV tambah kes Singapura

SINGAPURA 17 Julai – Jumlah kes jangkitan Covid-19 di Singapura terus menunjukkan peningkatan dan seperti dijangka, kluster pusat hiburan KTV menambah 29 kes menjadikan jumlah kumulatif kluster itu sebanyak 149.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), secara keseluruhan, jumlah kes yang direkodkan hari ini adalah 68 kes iaitu 60 kes tempatan dan lapan kes import.

Dalam kalangan 60 kes tempatan, 33 adalah jangkitan berhubung kait dengan kes terdahulu yang sudah dikuarantin manakala 22 lagi dikait kan dengan kes sebelumnya dan dikesan melalui ujian pemantauan.

Baki lima lagi kes tidak mempunyai hubung kait pada masa ini.

Sementara itu lapan kes import sudah dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) atau diasingkan setibanya mereka di sini.

Menurut MoH, satu kes dikesan sebaik tiba di sini manakala tujuh lagi mula sakit semasa menjalani SHN atau pengasingan.

Sementara itu, penjual ikan di semua pasar akan diuji bagi Covid-19, selepas kluster baharu dikesan di Pasar & Pusat Makanan Hong Lim serta Pelabuhan Perikanan Jurong.

Kit ujian akan juga diagihkan kepada penjual ikan berkenaan supaya mereka boleh memantau diri sendiri.

Semalam MoH menyatakan ia sedang menyiasat tujuh kes Covid-19 dalam kalangan individu di Pelabuhan Perikanan Jurong, yang ditutup bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh selama dua minggu sehingga 31 Julai.

MoH juga menasihatkan pengunjung pasar basah berbelanja semasa waktu kurang sibuk atau di pasar raya bagi mengelakkan kebanjiran orang ramai di samping mematuhi langkah pengurusan selamat.

Related posts

Leave a Comment