Bukan mudah ‘bebaskan’ dari Covid-19

PADA 12 Julai lalu, Singapura mengorak langkah pertama dalam pelan pembukaan semula secara bertahap atau berperingkat ke arah keadaan Covid-19 yang endemik dengan beberapa kelonggaran termasuk makan berlima di satu meja berbanding berdua sebelum ini.

Bagaimanapun peralihan itu bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi ketika varian baharu semakin ganas mencari mangsanya. Lebih sulit jika berlaku pengabaian atau kelekaan di pelbagai peringkat wsehingga mendedahkan diri kepada jangkitan.

Pengalaman Singapura ketika ini sedikit sebanyak boleh dijadikan panduan bagaimana kelonggaran, peralihan atau ‘pembukaan semula’ perlu dilakukan secara berhati-hati ketika kita sedar bahawa virus itu ada dalam komuniti.

Mulai Isnin ini, 19 Julai sehingga 8 Ogos, peraturan baharu diperkenalkan. Hanya individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 dibenar makan luar lima orang semeja, sementara had dua orang semeja diperkenal sekali lagi bagi mereka yang belum divaksin.

Peraturan ini selepas Kementerian Kesihatan (MoH) memperketat sebahagian langkah keselamatan untuk mengawal kes jangkitan yang melonjak, kebanyakannya berkait dengan kluster pusat hiburan KTV yang semakin meluas.

Peraturan dua kepada lima terpaksa dinilai semula dengan penambahbaikan selepas kewujudan kluster KTV itu mencatatkan 120 kes.

Di pusat-pusat penjaja, pusat makanan dan kedai kopi, saiz kumpulan akan dikekalkan kepada dua orang kerana ia adalah persekitaran “lebih mudah terjejas” dan secara amnya tidak mewajibkan pendaftaran SafeEntry.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong berkata,
kluster baharu Covid-19 yang berpunca daripada KTV adalah satu “halangan besar” dalam usaha Singapura untuk terus pulih.

Berikutan kluster itu juga, operasi 400 pusat hiburan, yang diubah menjadi kedai F&B untuk meneruskan perniagaan mereka semasa pandemik, digantung mulai semalam sehingga 30 Julai.

Kakitangan pusat hiburan tersebut akan menjalani ujian Covid-19 dan protokol pengurusan keselamatan di tempat-tempat ini akan terus dikuatkuasa dengan betul sebelum dibenarkan untuk terus beroperasi.

Selain peraturan makan luar, langkah keselamatan di tempat tertutup yang dianggap lebih berisiko juga diperketat, termasuk di gimnasium dan studio senaman.

Hanya 30 orang dibenar melakukan kegiatan serentak di tempat-tempat ini dan mereka hanya boleh dipecah kepada kumpulan dua orang.

Bagi mendepani kluster KTV, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung berkata kementerian itu sedang mengambil pendekatan ‘empat bulatan’ untuk mengekang penularan Covid-19 yang bersumber dari kluster KTV.

Seramai 2,480 kakitangan dan pelanggan – yang dikenal pasti melalui data SafeEntry dan TraceTogether – telah dikuarantin dalam peringkat bulatan pertama dan akan diuji berulang kali.

Bulatan kedua pula, kakitangan dan pelanggan yang tidak dapat dikenal pasti telah diundang menjalani ujian dan tiada kes positif dikesan dalam kalangan 1,003 orang yang tampil.

Bagi bulatan ketiga, 2,000 orang yang tidak semestinya ke KTV yang terjejas tetapi dikesan menerusi data TraceTogether sebagai berhubungan dengan kes Covid-19 telah diperintah di bawah undang-undang untuk menjalani ujian dan mengasingkan diri sehingga mereka mendapat hasil ujian negatif.

Beberapa ribu lagi individu, yang ke lokasi KTV atau tempat serupa telah diberi pesanan melalui SMS supaya memantau kesihatan selama 14 hari.

Bagi Lawrence Wong, Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF), kemungkinan situasi ini berpotensi menyaksikan kluster besar sepanjang beberapa minggu akan datang.

“Ada risiko nyata bahawa kes-kes daripada kluster ini sudah merebak ke dalam masyarakat terutama jika ada individu yang belum tampil ke hadapan untuk menjalani ujian,” katanya.

Bagaimanapun suasana ini mungkin lebih baik pada hari ini kerana kadar vaksinasi lebih tinggi. Bayangkan tanpa vaksinasi walaupun yang sudah lengkap dos belum tentu tidak boleh dijangkiti!

(Foto Fb Lawrence Wong)

Related posts

Leave a Comment