‘Pak Long’ ingatkan jangan rentas

KUANTAN 16 Julai – Jangan rentas daerah atau negeri semasa sambutan Hari Raya Aidiladha ! Itu ingatan Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kepada seluruh rakyat Malaysia.

Beliau menjelaskan, seluruh negara ketika ini sama ada yang di bawah kategori Fasa 1 atau Fasa 2, masih belum boleh berbuat demikian.

Malah Ismail Sabri turut menggesa masyarakat mengambil iktibar beberapa kes lonjakan jangkitan Covid-19 yang berlaku setelah melakukan rentas daerah dan negeri semasa sambutan Aidilfitri lalu.

Tegas beliau, sekalipun ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan aktviti rentas daerah dan negeri, namun, ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang secara ‘curi’curi’ balik kampung melalui ‘jalan tikus’ semata-mata untuk meraikannya bersama keluarga.

“Kalau kita lihat kes rentas negeri, kluster itu memuncak selepas itu (Aidilfitri), kes di Terengganu misalnya, seluruh keluarga dijangkiti (Covid-19) dan ada yang meninggal dunia, begitu juga di Kelantan pun ada kes yang sama… jadi saya harap (kes-kes) itu menjadi iktibar kepada kita,” kata beliau.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Dalam masa sama, Ismail Sabri menasihatkan masyarakat agar bersabar dan menunggu sehingga negara sudah mencapai imuniti kelompok untuk diberi kebenaran merentas daerah dan negeri di Fasa 3 dan Fasa 4.

“Tolonglah, jangan rentas negeri dan rentas daerah. Insya-Allah kalau vaksin telah dapat kita berikan kepada rakyat, bila komuniti berkelompok sudah diperoleh (melalui) Fasa 3 atau Fasa 4, rentas daerah dan rentas negeri akan dibenarkan.

“Jadi tunggulah fasa yang akan datang, Fasa 3 boleh rentas daerah dan Fasa 4 boleh rentas negeri, jadi sabarlah sedikit,” jelas Timbalan Perdana Menteri lagi.

Related posts

Leave a Comment