Sinovac tamat selepas 15 juta dos

PUTRAJAYA 16 Julai – Keputusan Malaysia untuk menghentikan pemberian vaksin Sinovac adalah kerana negara akan menerima pesanan penghantarannya yang lengkap pada akhir bulan ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menolak spekulasi bahawa keputusan negara itu berkaitan dengan kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin Sinovac yang dibangkitkan sesetengah pihak.

“Kami telah selesai menggunakan persediaan vaksin Sinovac. Pesanan kami semua telah dihantar oleh Pharmaniaga,” katanya.

Beliau berkata,penamatan itu tidak ada hubungannya dengan tuduhan kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin.

“Saya dapati banyak spekulasi tentang kenapa kita telah menghentikan menggunakan Sinovac tetapi itu hanya kerana kita telah menerima keseluruhan penghantaran kita,” katanya pada sidang media khas CITF secara maya.

Khairy menjelaskann secara keseluruhan, Malaysia telah memperoleh 15 juta dos vaksin Sinovac.

Ini termasuk tiga juta dos tambahan yang dipesan kerajaan baru-baru ini, yang akan diterima pada akhir bulan Julai atau awal Ogos.

Khairy menjelaskan pada awalnya, pemberian vaksin Sinovac akan berlangsung hingga November, tetapi kerajaan telah meminta agar vaksin tersebut disegerakan untuk mempercepat program vaksinasi negara.

“Setelah berunding dengan Pharmaniaga, kami mempercepat penerimaan vaksin Sinovac. Kini, kadar vaksinasi kami meningkat dan program imunisasi kami adalah salah satu yang terpantas di dunia,” kata Khairy.

Beliau memaklumkan dari bulan Ogos dan seterusnya, vaksin dari Pfizer-BioNTech akan menjadi vaksin utama yang digunakan untuk program vaksinasi nasional.

Related posts

Leave a Comment