Kes aktif meningkat 101,359

PUTRAJAYA 14 Julai – Dua hari berturut-turut kes harian Covid-19 kekal melebihi 11,000 dengan 11,618 kes dilaporkan hari ini, yang tertinggi pernah direkodkan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 867,567 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini juga pertama kali meningkat kepada enam angka iaitu sebanyak 101,359 kes.

Daripada jumlah itu, 878 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 432 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan.

Mengenai kes kematian yang dilaporkan hari ini, 108 kes membabitkan warganegara dan 10 kes kematian lagi adalah warga asing.

Selangor mencatatkan 46 kes kematian, manakala Kuala Lumpur 18, Negeri Sembilan 16, Johor 13, lima di Kedah dan masing-masing empat kes di Sabah dan Sarawak, masing-masing dua kes di Labuan, Kelantan, Perak, Pahang dan Melaka serta satu kes masing-masing di Pulau Pinang dan Terengganu.

Mengenai 26 kluster baharu yang dikesan hari ini, Dr Noor Hisham berkata, 15 daripadanya dikesan di tempat kerja, tujuh membabitkan dalam kalangan komuniti manakala empat lagi adalah kumpulan berisiko tinggi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga pukul 12 tengah hari sebanyak 6,377 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 759,705 kes.

Related posts

Leave a Comment