Kejutan berakhir dengan ‘kejutan’

MELAKA 11 Julai – Hasrat enam remaja membuat kejutan kepada rakan yang menyambut hari jadi berakhir apabila mereka ‘dikejutkan’ dengan kompaun RM5,000 seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Mereka didapati merentas negeri dari Gemas, Negeri Sembilan ke Melaka dalam tempoh sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi meraikan sambutan hari jadi rakan mereka.

Enam individu masing-masing berusia 14 hingga 18 tahun itu dicekup ketika sedang berkumpul di hadapan sebuah rumah di Taman Baiduri, Kuala Ina Pulau Sebang, di sini sekitar pukul 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kesemua mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang manakala penganjur yang berusia 17 tahun sudah diambil keterangan.

Pasukan pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menahan dua lelaki dan lima perempuan yang sedang duduk di hadapan sebuah rumah dan hasil siasatan mendapati enam daripada mereka datang dari negeri jiran.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati enam remaja yang hadir ke Melaka untuk membuat kejutan kepada rakan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan rentas negeri yang sah dan telah dikenakan kompaun serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kompaun dikeluarkan kerana kesemua mereka gagal mematuhi SOP Peraturan 4 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam un Tempatan Jangkitan ) (PPN) 2021.

Manakala penganjur berusia 17 tahun itu turut dikesan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) (PPN) 2021 kerana mengadakan majlis terbabit.

“Perbuatan semua remaja ini hadir ke lokasi kejadian semata-mata untuk berhibur dilihat amat berbahaya memandangkan ada yang datang dari negeri yang mencatatkan kes harian Covid-19 yang tinggi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment