DUNGUN 11 Julai – Lepak dan ziarah dikenal pasti menjadi punca penularan kluster Gong Pasir di sini, yang sudah menjangkiti 81 kes positif Covid-19 sehingga semalam, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus.
Kes pertama kluster Gong Pasir itu dikesan sejak 20 Jun lalu dan pesakit terbabit menjalani pemeriksaan pada 28 Jun.
Dr. Azimi berkata, sebanyak 53 kes dalam kluster itu dikesan berpunca aktiviti ziarah ahli keluarga, manakala 18 kes lagi membabitkan aktiviti sosial dan lepak bersama rakan-rakan.
“Akibat aktiviti lepak ini, maka ada antara kes membabitkan pekerja sebuah kilang di Kemaman. Jadi jangkitan komuniti ini telah masuk ke kilang menyebabkan dua pekerja disahkan positif dan komuniti ke kilang pergi ke komuniti dan begitulah rantaian yang berlaku.
“Kalau begitu ramai pekerja di kilang, yang positif akan bawa balik kepada keluarga mereka, bayangkan akibatnya,” katanya ketika meninjau situasi Covid-19 di Kampung Gong Pasir.
Dr Azimi berkata sejak kampung itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), seramai 976 daripada 1105 penduduk sudah menjalani ujian saringan.
Beliau berharap penduduk negeri ini supaya melupakan sementara aktiviti ziarah keluarga dan sahabat dalam usaha negeri ini berpindah kepada fasa seterusnya dengan lebih cepat.
Sementara itu, katanya, tahap penggunaan katil termasuk Unit Rawatan Rapi ICU bagi pesakit Covid-19 di negeri ini, masih mencukupi.
