Restoran diarah tutup 10 hari

SINGAPURA 9 Julai – Lapan cawangan premis makanan dan minuman (F&B) termasuk Restoran Nando’s, cawangan Carl’s Jr dan Food Junction di Bugis diarah tutup selama 10 hari kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat Covid-19.

Di samping itu, 13 cawangan F&B dan 56 individu turut didenda kerana melanggar langkah-langkah berkenaan sepanjang minggu lalu.

Menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Singapura membenarkan orang ramai duduk makan di cawangan-cawangan F&B pada 21 Jun lalu dalam kumpulan sehingga dua orang dan mulai 12 Julai sehingga lima orang.

Bagaimanapun premis tidak dibenarkan memainkan muzik dan kumpulan pelanggan mesti duduk dengan jarak 1 meter antara satu sama lain, pelanggan mesti memakai pelitup pada setiap masa kecuali semasa sedang makan atau minum.

Lapan cawangan yang diarah tutup adalah Nando’s di Plaza Singapura, Carl’s Jr di Jurong Point, Food Junction di Bugis Junction, Sakunthala’s di Dunlop Street, Club Diamond di Oriental Plaza, 3 Kings Pub di Lucky Plaza, Grand Shanghai di King’s Centre dan The Bravery di 50 Amoy Street.

Menurut MSE, cawangan-cawangan Nando’s, Carl’s Jr dan Food Junction sudah berulang kali gagal menjaga jarak selamat antara kumpulan pelanggan.

Restoran Sakunthala’s di Dunlop Street juga tidak menjaga jarak selamat antara kumpulan pelanggannya. Malah, ia tidak memastikan para pelanggan mendaftar masuk menggunakan TraceTogether dan memeriksa suhu badan mereka.

The Bravery pula membenarkan kumpulan pelanggan melebihi dua orang yang tidak tinggal serumah untuk duduk bersama.

Club Diamond membenarkan kumpulan pelanggan melebihi dua orang untuk duduk bersama, tidak mengurangkan interaksi fizikal antara kakitangan dan pelanggan manakala 3 Kings Pub pula memainkan muzik, lebih dua orang dibenarkan duduk bersama dan tidak menjaga jarak selamat 1 meter.

Related posts

Leave a Comment