Tuntutan memelihara nyawa

SHAH ALAM 9 Julai – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam di Selangor agar memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat mengenai bunuh diri yang dibacakan oleh khatib di masjid-masjid seluruh negeri itu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua umat Islam bahawa dalam Islam, membunuh diri adalah perbuatan dosa besar yang dilarang oleh syarak.

Titah baginda terdapat hadis yang secara spesifik menyebut bagaimana azab seksa yang dikenakan kepada orang yang membunuh dirinya di akhirat nanti.

Baginda berpandangan isi kandungan khutbah minggu ini yang bertajuk ‘Tuntutan Memelihara Nyawa’, susulan laporan peningkatan kes bunuh diri, amat perlu diketengahkan untuk diambil sebagai pedoman dan pengajaran oleh umat Islam.

Titah baginda, Allah melarang hamba-Nya daripada membunuh diri kerana diri mereka adalah milik-Nya, bukan milik mutlak diri mereka sendiri, maka membunuh diri bermakna mengkhianati amanah yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Khutbah hari ini menyeru individu Muslim perlu memantapkan keimanan agar perbuatan bunuh diri tidak menjadi satu penyelesaian bagi masalah kehidupan apabila berputus asa.

Membunuh diri bukan penyelesai masalah, bahkan ia adalah permulaan kepada masalah yang lebih besar di sebelah sana nanti sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW.

Khatib juga meminta agar semua pihak memberi sokongan kepada masyarakat yang hidup dalam keadaan tertekan sehingga sanggup mengambil tindakan nekad membunuh diri.

Pimpinan masyarakat, komuniti, badan bukan kerajaan dan individu juga perlu tampil dengan idea dan cadangan untuk membantu dan menyokong masyarakat yang terkesan.

Antara saranan khatib untuk menghindari dari melakukan perbuatan tersebut :

1. Bersabar dengan ujian dan istiqamah mendirikan solat. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 153:

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

2. Sentiasa berzikir lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan ujian kerana dengan berzikir itu akan membawa ketenangan dalam hati dan menghilangkan kegelisahan bahkan dapat mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara lain yang tidak berfaedah untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan.

3. Rawatlah dukacita dengan doa. Nabi SAW pernah mengajarkan beberapa doa yang masyhur kepada para sahabat bagi menghilangkan kesedihan dan dukacita. Antara doa yang dibaca oleh Nabi SAW adalah: “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah

dan malas, penakut dan bakhil, lilitan hutang dan penindasan orang.”

4. Hendaklah mengajukan permasalahan yang dihadapi kepada ahli keluarga, sanak saudara dan lain-lain individu yang boleh dipercayai untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar.

Related posts

Leave a Comment