9,180 kes harian tertinggi

PUTRAJAYA 9 Julai – Angka 9 sekali lagi mengambil tempat dalam fakta Covid-19 negara tetapi dengan jumlah yang lebih tinggi iaitu 9,180 berbanding 9,020 yang direkodkan pada 29 Mei lalu.

Ketika itu, angka tersebut dijangka terus meningkat tetapi agak mengejutkan angka pada hari berikutnya 30 Mei jatuh kepada 6,999 kes.

Dengan penambahan kes harian itu, yang tertinggi setakat ini, jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 817,838 kes manakala jumlah kes aktif pula 80,665 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes harian itu, 9,180 adalah kes tempatan iaitu 7,122 warganegara dan 2,051 bukan warganegara manakala tujuh kes import turut melibatkan dua warganegara tempatan.

Menurutnya, 77 lagi korban baharu atau 0.73 peratus daripada keseluruhan kes, dilaporkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kes kematian mencecah 5,980 kes.

Selangor merekodkan 28 kematian, 17 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sembilan di Melaka, masing-masing lima di Johor dan Negeri Sembilan, empat di Pahang, tiga di Sarawak,masing-masing dua di Perak dan Terengganu, serta masing-masing satu di Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Setakat pukul 12 tengah hari pula, 5,713 pesakit dilaporkan sembuh yang membawa kepada jumlah kumulatif 731,193 kes atau 89.41 peratus.

Sebanyak 959 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 465 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment