PUTRAJAYA 9 Julai – Bekas pesakit Covid-19, iaitu individu yang pulih daripada jangkitan virus SARSCoV-2, tidak perlu lagi menunggu tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin.
Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengambil keputusan itu berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan persidangan semalam.
JKJAV berkata, walaupun bukti terkini menunjukkan jangkitan semula jadi virus itu menghasilkan perlindungan yang baik terhadap jangkitan semula selama sekurang-kurangnya tiga bulan, namun kemunculan varian baharu virus ini menyebabkan ada keperluan pemberian vaksin yang lebih awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini.
Bekas pesakit Covid-19 yang disahkan bebas daripada virus Covid-19 kini dibenarkan untuk divaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) menurut janji temu yang diberikan.
Bagi pesakit Covid-19 yang mendapat antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 atau ‘convalescent plasma’ sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19, hanya dibenarkan mendapat suntikan sekurang-kurangnya 90 hari selepas tarikh pulih dari jangkitan virus.
JKJAV berkata, langkah berjaga-jaga itu diambil sehingga terdapat maklumat tambahan untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin.
JKJAV juga menggesa orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak hadir ke PPV walaupun mempunyai temu janji atau sebagai pengiring.
Katanya, mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik.
