Hanya 1 kes tempatan Singapura

SINGAPURA 9 Julai – Hanya satu kes tempatan direkodkan Singapura hari ini dan sembilan kes import dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat hari ini sebanyak 62,678.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes tempatan itu tidak ada kaitan dengan kes-kes terdahulu.

Manakala kesemua kes import pula telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Enam daripada kes jangkitan itu dikesan sebaik mereka tiba di Singapura manakala tiga lagi jatuh sakit sewaktu SHN atau dalam pengasingan.

Sementara itu, kira-kira 80 peratus banduan dan lebih 90 peratus kakitangan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) yang layak sudahpun menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat 30 Jun.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebooknya berkata, mencapai kadar vaksinasi yang tinggi menjadi keutamaan nombor satu dalam persekitaran seperti di penjara.

“Ia akan memastikan rutin-rutin penjara dan program-program pemulihan dapat terus dijalankan dengan selamat tanpa sebarang gangguan,” tulis beliau dalam catatannya itu.

Semalam Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa kelompok jangkitan Covid-19 di Kompleks Penjara Changi sudah ditutup setelah tiada kes baharu dikaitkan dengan kluster berkenaan selama dua tempoh inkubasi atau sepanjang 28 hari.

Related posts

Leave a Comment