UMNO tarik sokongan kepada PM

KUALA LUMPUR 8 Julai – Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Justeru, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal, terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik Covid-19 dan bantuan kepada rakyat.

MKT juga kekal dengan pendirian yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO

(PAU2020) untuk tidak sesekali menyokong usaha mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Lead Government).

Beliau bagaimanapun tidak menyebut mengenai mana-mana kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin selama ini.

Pada sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online malam ini, parti itu menggariskan tujuh kegagalan kerajaan PN yang memaksa parti itu menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Tujuh perkara itu adalah

I. *Kegagalan Kerajaan* menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat. Ini termasuklah polisi-polisi yang tidak konsisten, perlaksanaan PKP yang separa masak dan berubah-rubah hingga rakyat dikurung secara sia-sia selama hampir 6 bulan tanpa pembelaan yang sewajarnya. Contohnya, ‘TOTAL LOCKDOWN’ yang separa masak hanya menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada lebih 5,768 korban hanya dalam tempoh 38 hari setelah PM mengumumkan ‘TOTAL LOCKDOWN’.

II. *Kegagalan Kerajaan* dengan menyalahgunakan Darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara, sekaligus menafikan suara UMNO yang sejak dari awal membantah keras proklamasi tersebut. Malah Ordinan Darurat yang kononnya boleh digunakan untuk membantu rakyat, ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat, dalam keadaan mereka sudah sedia terbeban dengan isu-isu survival dan kelangsungan hidup.

III. *Kegagalan Kerajaan* untuk mempertahankan sistem demokrasi Berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang yang menjamin hak dan suara rakyat terbela terutamanya dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan dan segala usaha vaksinasi.

IV. *Kegagalan Kerajaan* menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori. Ini termasuklah tuntutan Moratorium 2.0 tanpa caj/faedah terakru, dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi-agensi Kerajaan yang lain seperti LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti BPR, BPN dan BKC yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir dan terpaksa melalui karenah birokrasi yang membebankan.

V. *Kegagalan Kerajaan* untuk memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri  (Nota: Jumlah kes bunuh diri daripada Mac 2020 hingga Mei 2021 sebanyak 1,099 kes). Gerakan #BenderaPutih adalah satu contoh manifestasi kekecewaan dan protes rakyat terhadap kegagalan Kerajaan untuk menyantuni keperluan rakyat yang amat susah, tertekan dan terdesak ketika ini.

VI. *Kegagalan Kerajaan* mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik. Indeks Pengendalian Covid yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama.

VII. *Kegagalan Kerajaan* yang jelas memperkotak-katikkan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Selaku parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap Kerajaan terhadap Institusi Raja.

Related posts

Leave a Comment