ISTANBUL – Perang dengan Iran boleh berlanjutan untuk tempoh dua atau tiga minggu lagi, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam satu temu bual telefon dengan penyampai radio, Hugh Hewitt, kelmarin.
Bagaimanapun, Trump enggan menyatakan sama ada gencatan senjata dengan Iran telah berakhir susulan laporan mengenai serangan Iran ke arah Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Ditanya sama ada perkembangan pada Isnin lalu menandakan konflik kembali memuncak, Trump berkata: “Dalam apa jua keadaan, kita akan menang. Sama ada kita capai perjanjian yang tepat, atau kita menang dengan sangat mudah”
Beliau berkata, dari sudut ketenteraan, pihaknya sudahpun memenanginya dan sama ada perjanjian yang tepat dicapai, AS akan menang dengan sangat mudah.
“Anda tahu, anda pernah dengar saya katakan berkali-kali, dan orang lain juga berkata: Mereka mempunyai 159 kapal, Hugh. Sekarang, mereka tidak mempunyai apa-apa. Semuanya berada di dasar laut,” katanya lagi.
Trump mendakwa bahawa AS telah ‘memusnahkan’ lapan bot kecil dan laju yang dilengkapi mesingan pada Isnin lalu.
Trump juga mendakwa bahawa AS mempunyai ‘kawalan’ ke atas Selat Hormuz, sambil memberi amaran mengenai potensi risiko terhadap trafik maritim.
“Satu perkara yang anda tidak boleh halang ialah jika seseorang mahu meletakkan periuk api kecil… dan anda kebetulan memiliki kapal bernilai berbilion dolar. Saya tidak pasti anda akan berasa teruja untuk melayarkannya,” katanya.
Malah, Trump mendakwa bahawa rakyat Iran ‘sedang mendapatkan senjata’ untuk menentang kerajaan di Tehran.
“Sebaik saja mereka mempunyai senjata, mereka akan berjuang sama hebat dengan sesiapa saja,” katanya.
Nnnnnn
