Masjid, surau di WP dibuka mulai esok

KUALA LUMPUR 8 Julai – Semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan fardu mulai esok termasuk solat Hari Raya Aidiladha dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kebenaran itu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail, berkata di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 300 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan.

Untuk lapan masjid pusat zon, 100 jemaah dibenarkan membabitkan enam masjid di ibu negara iaitu Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong; Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Setapak; Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Maluri; Masjid Usamah Bin Zaid, Seksyen 2, Wangsa Maju; Masjid Al-Muaqarrabin, Bandar Tasek Selatan dan Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru.

Dua lagi masjid pusat zon ialah Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya dan Masjid Jamek An-Nur, Labuan.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, untuk masjid kariah dan surau Jumaat, dibenarkan 50 jemaah manakala surau yang dibenarkan kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat, seramai 40 jemaah.

Bilangan jemaah di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya 12 jemaah dibenarkan.

Bagi solat fardu di kawasan PKP, seramai 100 jemaah dibenarkan mendirikan solat di Masjid Wilayah Persekutuan.

Bagi lapan masjid pusat zon, seramai 50 jemaah dan bagi masjid kariah dan surau Jumaat, seramai 30 jemaah.

Bilangan jemaah untuk solat fardu di surau yang dibenarkan kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat pula adalah seramai 20 orang manakala bilangan

jemaah solat fardu di surau Jumaat PPR dan PA DBKL serta semua surau pula, seramai 12 orang.

Bagi kawasan yang dikenakan Peritah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Mohd Ajib berkata solat fardu dibenarkan terhad kepada tiga orang sahaja di semua masjid, surau Jumaat dan surau, manakala solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor.

Related posts

Leave a Comment