Singapura tidak kira Sinovac

SINGAPURA: Individu yang menerima suntikan vaksin Sinovac tidak termasuk dalam kiraan jumlah vaksinasi Covid-19 di Singapura, kata Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung.

Ini susulan data keberkesanan yang tidak mencukupi mengenai vaksin buatan China itu terutama terhadap varian Delta yang mudah menular.

Kini Singapura hanya membuat kiraan kadar vaksinasi kepada individu yang mengambil suntikan vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech.

Lebih daripada 3.7 juta individu telah menerima satu dos vaksin meliputi 65 peratus populasi dan hampir 2.2 juta telah lengkap dua suntikan vaksin.

Singapura menetapkan sasaran dua pertiga rakyatnya diberikan vaksin sepenuhnya pada 9 Ogos.

Selepas mendapat persetujuan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Singapura mula membenarkan klinik swasta untuk menawarkan suntikan Sinovac pada Jun lepas.

Pada 3 Julai, lebih 17,000 individu menerima satu dos Sinovac dan pihak berkuasa menyatakan permintaan terhadap vaksin berkenaan semakin berkurang.

Singapura menyatakan, individu yang diberi vaksin Sinovac masih perlu membuat saringan Covid-19 sebelum menghadiri acara tertentu atau memasuki beberapa tempat, tidak seperti mereka di bawah program vaksin nasional.

Related posts

Leave a Comment