PN tidak tumbang serta merta

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan tumbang secara automatik atau serta-merta susulan tindakan penarikan sokongan UMNO kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, kata bekasĀ Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad.

Beliau berkata penarikan itu juga tidak menyebabkan Muhyiddin hilang jawatan sebagai Perdana Menteri kerana perkara itu hanya keputusan parti.

“Ahli Parlimen UMNO yang sepatutnya turut menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, tidak semestinya akan berbuat demikian. Mungkin mereka akan dipecat daripada parti, tetapi mereka masih tetap boleh menyokong kerajaan PN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Hamid berkata, tidak diketahui juga sama ada terdapat Ahli Parlimen pembangkang mungkin mengubah fikiran dan menyokong kerajaan PN.

Katanya, selagi Muhyiddin tidak meletak jawatan atau Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Perdana Menteri baharu, maka Muhyiddin kekal dengan jawatannya.

“Muhyiddin ada pilihan sama ada menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Namun, baginda boleh tidak berkenan dengan nasihat itu,” katanya.

Katanya, dalam keadaan sekarang, PRU-15 tidak mungkin diadakan, jadi pilihan kedua Muhyiddin adalah cuba mendapat sokongan majoriti, jika boleh.

“Sementara itu, tunggu saja saat Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Jika ia tidak dilakukan sebelum persidangan Parlimen pada 26 Julai, satu usul tidak percaya boleh dikemukakan di Parlimen. Jika usul itu kalah, kerajaan PN selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, jika usul mendapat sokongan majoriti, Muhyiddin perlu meletak jawatan atau beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Mengulas keputusan UMNO tidak menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan kerajaan ditunjangi DAP- Pakatan Harapan (PH), beliau berkata, PH masih mantap dengan bilangan Ahli Parlimennya, malah jika dicampur Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mungkin mempunyai majoriti.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan PN tanpa UMNO boleh menyebabkan mereka kehilangan majoriti.

“Tanpa sokongan PH dan PN, dari mana kerajaan baharu tajaan UMNO akan mendapat majoriti. Saya khuatir, tindakan UMNO itu akan menyerah balik kerajaan diperoleh daripada PH itu kepada PH semula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment