JOHOR BAHRU 20 Jun- Pentadbiran Johor sentiasa dipantau secara dekat bagi memastikan setiap dasar, projek serta arahan benar-benar dilaksanakan dan bukan sekadar diumumkan,titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Justeru baginda mengingatkan supaya tiada pihak membuat gambaran tidak tepat dengan mendakwa kerajaan negeri ini gagal melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Jangan datang sini cakap benda bukan-bukan seolah-olah rakyat tidak dilayan dengan baik ataupun kerajaan yang mentadbir tidak membuat kerja. Saya ‘monitor’ (memantau) kerajaan saya. Saya memastikan kerajaan ini buat kerja,” titah baginda pada satu sesi bersama rakyat Johor, hari ini
Malah, Tunku Mahkota Ismail bertitah, tahap pemantauan terhadap pentadbiran negeri dilakukan secara serius, termasuk mendapatkan penjelasan terus daripada Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Mohammed Ridha Abd Kadir.
Kalau tidak buat kerja, awak boleh tanya Datuk Menteri Besar, boleh tanya Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sampai kadang-kadang jam 3 pagi pun saya telefon dan tanya kenapa benda ini belum siap?” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail sekali gus menegaskan Johor tidak memerlukan politik yang hanya dipenuhi janji, teori dan ‘lakonan’ sebaliknya mahu kepimpinan yang mampu melaksanakan keputusan serta memberikan hasil nyata kepada rakyat.
“Saya tidak suka janji ataupun cakap dongeng. Saya suka melaksanakan. Apabila ada visi, mesti kita laksanakan. Visi tanpa pelaksanaan, hanyalah satu halusinasi,” titah baginda.
Kenyataan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa Kerajaan Johor tidak bekerja atau gagal menjaga kebajikan rakyat, sedangkan banyak kelewatan pembangunan turut berpunca daripada proses kelulusan dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, rakyat perlu menilai sesebuah kerajaan berdasarkan fakta, prestasi, kemampuan turun padang, dan hasil yang berjaya dilaksanakan.
Baginda turut mengingatkan bahawa mencari kesalahan dan membuat janji ketika menjadi pembangkang adalah mudah, namun tidak semua pihak mempunyai keupayaan untuk mentadbir apabila diberikan amanah.
“Untuk cari isu, cari salah dan menjadi pembangkang memang senang. Namun apabila sudah dapat kerusi untuk mentadbir, tidak semua orang boleh mentadbir,” titah baginda.
Nn
