Pejuang lulus pendaftaran

KUALA LUMPUR 8 Julai – Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad mengesahkan parti tersebut secara rasminya telah didaftarkan sebagai parti politik pada 8 Julai 2021.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang akhirnya meluluskan pendaftaran parti berkenaan.

Menurutnya, kelulusan telah diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kita berterima kasihlah kepada kerajaan yang telah mendaftar parti Pejuang ini dan kami berpendapat bahawa cara kami bukanlah untuk menimbulkan masalah,” katanya pada sidang media maya hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir memberi bayangan tidak berminat dengan jawatan Perdana Menteri interim susulan perkembangan politik semasa ketika ini.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, fokus Pejuang ketika ini adalah untuk mengatasi krisis kesihatan yang melanda negara.dan  tidak mahu terlibat dengan sebarang bentuk ‘percaturan’ politik yang berlaku sekarang.

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk menguruskan pandemik yang kami fikir penting untuk diselesaikan. Jadi sama ada beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turun atau tidak atau apa saja berlaku kepadanya, itu disebabkan kekeliruan politik yang berlaku di negara ini.

“Semua orang nak jadi Perdana Menteri. Apa yang mereka fikirkan adalah berapa banyak wang yang mereka boleh dapat, itu sahaja.

Mereka tidak berminat untuk berkhidmat atau menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya.

Pejuang juga terus konsisten mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara yang akan disertai individu berpengalaman dalam pelbagai bidang.

“Waktu ini bukan masa untuk politik. Waktu ini masa untuk menghadapi masalah rakyat. Jika tidak dibuat sesuatu, bilangan yang kes baharu (COVID-19) akan meningkat lagi.

“Hari ini sudah naik 8,000 kes. Kita tak boleh jamin bahawa ia tidak akan naik kepada 10,000 ke 12,000 kes. Kini kita jadi antara negara yang teruk sekali di seluruh dunia, ini hasil daripada kerajaan yang tidak cekap.

“Sebab itu kami tidak akan kerjasama dengan kerajaan tapi kerajaan patut beri kebenaran kepada kami untuk menubuhkan badan ini supaya rakyat dapat diselamatkan,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment