Brunei catat 4 lagi kes import

BANDAR SERI BEGAWAN 7  Julai – Kementerian Kesihatan merekodkan empat kes import baharu setakat tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD) seramai 266 orang.

Kes 263 melibatkan seorang lelaki berumur 42 tahun dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan manakala kes 264, seorang lelaki berumur 41 tahun yang mengalami simptom batuk.

Bagi kes 265 pula, seorang wanita berumur 23 tahun yang mengalami simptom demam panas dan batuk manakala kes 266 ialah seorang anak damit lelaki berumur 1 tahun. Beliau tidak mengalami sebarang simptom.

Mereka tiba dari Surabaya, Indonesia pada 23 Jun lalu dan hasil penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes baharu ini memandangkan kes ini telah di kuarantin sebaik sahaja tiba ke negara ini.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan bahawa setakat ini, Brunei Darussalam mencatatkan 426 hari kes sifar, iaitu bagi kes terakhir jangkitan tempatan Covid-19 sejak laporan terakhir dicatatkan, pada 6 Mei 2020.

Setakat ini, sebanyak 125 kes import dicatatkan, iaitu sejak kes terakhir jangkitan tempatan berkenaan dilaporkan.

Menurut Kementerian Kesihatan lagi, lapan kes aktif masih menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemua kes yang sedang dirawat di pusat berkenaan adalah dalam keadaan yang baik.

Sebanyak tiga kes aktif disahkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini seramai 255 orang.

Related posts

Leave a Comment