Kes baharu Covid-19 catat penurunan

PUTRAJAYA 26 Sept. – Bilangan kes baharu Covid-19 yang direkodkan bagi Minggu Epidemiologi ke-38 (ME 38/2022) iaitu dari 18 hingga 24 September turun kepada 12,963 daripada 13,627 kes pada ME 37/2022 dari 11 hingga 17 September.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah,  penurunan dicatatkan adalah sebanyak 4.9 peratus manakala purata kes aktif setiap hari bagi ME 38/2022 ialah 25,325, penurunan empat peratus berbanding minggu sebelumnya

Katanya, bilangan kes tempatan pada ME 38/2022 menurun 4.8 peratus kepada 12,934 kes daripada 13,585 kes pada ME 37/2022 manakala kes import mencatat penurunan 31 peratus kepada 29 kes berbanding 42 kes pada ME 37/2022..

Beliau berkata bilangan kes sembuh pada ME 38/2022 menurun 5.8 peratus kepada 13,677 kes daripada 14,513 kes pada ME 37/2022 manakala kes kematian pada ME 38/2022 meningkat sebanyak 29 peratus (31 kes kepada 40 kes).

Menurut beliau, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi bagi semua kategori menurun pada ME 38/2022 berbanding ME 37/2022.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu pesakit kategori satu dan dua menurun 7.1 peratus manakala pesakit kategori tiga, empat dan lima menurun 11.5 peratus.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata kes-kes positif Covid-19 yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan peningkatan dari segi bilangan kes baharu yang menjalani pemantauan di rumah iaitu 102 peratus.

Berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 37/2022 dan ME 38/2022, bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun 0.5 peratus manakala kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital tidak berubah bagi kedua-dua tempoh.

Dr Noor Hisham memberitahu dari 25 Januari 2020 hingga 24 September lepas, kumulatif kes baharu Covid-19 yang dicatatkan negara ialah sebanyak 4,830,214 kes.

Dalam tempoh sama, kumulatif kes sembuh ialah sebanyak 4,768,604 kes manakala kumulatif kes kematian berjumlah 36,348 kes dan kumulatif kluster ialah 7,079 dengan 14 kluster masih aktif.

Related posts

Leave a Comment