SOP : 27 premis diarah tutup

KUALA LUMPUR 6 Julai – Sebanyak 27 premis membabitkan kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja diarah ditutup semalam kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, berkata arahan itu susulan 88,183 pemeriksaan pematuhan SOP PKP di seluruh negara semalam membabitkan 20,751 penguat kuasa.

Pemeriksaan itu termasuk di 2,798 kilang, 17,349 premis perniagaan, 727 tapak pembinaan dan 211 asrama penempatan pekerja.

Ismail Sabri berkata, seramai 548 individu ditahan semalam kerana ingkar SOP PKP, dengan 539 dikompaun manakala sembilan lagi direman.

Kesalahan direkodkan termasuklah gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis 91 orang, tiada penjarakan fizikal (81), tidak memakai pelitup muka (79), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (54) serta membawa penumpang berlebihan (48).

Op Benteng pada hari sama, berjaya menangkap lima pendatang asing tanpa izin (PATI), manakala empat kenderaan darat dirampas.

Sementara itu, seramai 506 individu tiba di pintu masuk antarabangsa semalam dan semuanya sudah dikuarantin.

Secara kumulatif sejak 24 Julai 2020, seramai 242,685 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 75 hotel, 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

Seramai 700,344 pekerja terbabit menjalani ujian saringan berkenaan setakat ini yang membabitkan 36,395 majikan. Daripada jumlah pekerja berkenaan, 10,383 disahkan positif Covid-19.

Related posts

Leave a Comment