Lonjakan di Indonesia 31,189 kes

JAKARTA 6 Julai – Lonjakan kes Covid-19 di Indonesia berterusan apabila kes jangkitan dan kematian yang direkodkan pada hari ini adalah yang tertinggi sejak pandemik itu mula dilaporkan pada Mac 2020.

Kes harian meningkat kepada 31,189 berbanding angka yang direkodkan semalam sebanyak 29,745 dan kematian pula mencecah 728 orang berbanding 558 semalam.

Dengan perkembangan ini,  jumlah keseluruhan kes jangkitan yang tersebar di 34 provinsi itu meningkat kepada 2,345,018 orang manakala jumlah kumulatif kematian pula 61,868 orang.

Sebanyak 15,863 pesakit dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih adalah sebanyak 1,958,553 orang. Kes aktif pula sebanyak 324,597.

Lima provinsi yang merekodkan kes harian tertinggi hari ini adalah Jakarta dengan 9,439, Jawa Barat 7,239, Jawa Tengah 4,048, Jawa Timur 1,808, dan Yogyakarta 1,368.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, lonjakan kes Covid-19 sejak beberapa hari ini memerlukan semua pihak bekerja keras termasuk usaha pemerintah mempersiapkan katil tambahan untuk pesakit.

Melalui Facebooknya, Jokowi berkata, di Asrama Haji Pondok Gede yang dikunjungi  semalam, pemerintah menyiapkan 900 katil isolasi, 50 ICU (unit rawatan rapi), dan 40 HCU.

Jokowi juga memberitahu, sebanyak 2,273 katil juga disediakan di Rumah Susun Nagrak dan di Rumah Susun Pasar Rumput sebanyak 3,986 katil.

Di samping itu, pemerintah juga menambah kapasiti Rumah Sakit Darurat Covid-19 Wisma Atlet sebanyak 1.200 katil.

“Saudara-saudara, pandemik ini belum berakhir. Saya berharap kita semua berganding tangan dan bersama-sama mengakhirinya. Pemerintah menyiapkan vaksin dan layanan kesihatan, dan masyarakat tetap mematuhi protokol kesihatan ,” katanya

Related posts

Leave a Comment