Kes harian melebihi 7,000

PUTRAJAYA 6 Julai – Angka 7,000 kembali dalam senarai jumlah kes harian Covid-19 di negara ini apabila merekodkan 7,654 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kumulatif kes baharu kini 792,693.

Kali terakhir, angka 7,000 direkodkan adalah pada 5 Jun 2021 dengan 7,452 kes manakala angka tertinggi adalah pada 27 Mei 2021 dengan 7,857.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan mengenai kes positif Covid-19 memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 11 adalah kes import melibatkan lima warganegara dan enam bukan warganegara.

Bagi kes tempatan pula, 5,486 adalah warganegara dan 2,157 bukan warganegara.

Jumlah kematian pula meningkat kepada 5,677 orang apabila 103 lagi pesakit – 94 warganegara dan sembilan bukan warganegara dilaporkan meninggal dunia.

Sebanyak 43 kematian dilaporkan di Selangor, 18 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 12 di Negeri Sembilan, sembilan  di Johor, enam di Kelantan, empat di Pahang, tiga di Melaka, masing-masing dua di Sarawak dan Kedah, serta masing-masing satu di Sabah, Perak, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Pulau Pinang.

Sebanyak 4,797 kes dilaporkan pulih menjadikan jumlah keseluruhan 714,815 sementara kes aktif pula sebanyak 72,201.

Sementara itu 943 orang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 450 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment