Tumpuan agihan vaksin di 5 negeri

SEPANG 6 Julai – Lima negeri menjadi sasaran agihan vaksin bulan ini iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Negeri Sembilan dan Kelantan yang menunjukkan peningkatan kes jangkitan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata pengagihan bekalan vaksin ketika ini dilakukan berdasarkan beberapa indikator seperti kadar positiviti dan ‘kadar insiden’ Covid-19 yang tinggi.

“Kita buat keputusan hantar (vaksin) berdasarkan kedudukan negeri itu. Sebagai contoh, untuk bulan ini antara negeri yang menjadi sasaran (pemberian vaksin yang tinggi) ialah Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan.

“Ini (negeri) yang mempunyai kadar insiden yang tinggi. Setiap minggu kita selaraskan pengagihan (vaksin) berdasarkan kepada data dari negeri berkaitan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi tadi.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata kerajaan tidak bercadang mewujudkan PPV di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berikutan pelaksanaan perintah kawalan itu bersifat dinamik dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

“Kalau nak hantar vaksin setiap minggu ke kawasan baharu, (sukar) kerana senarai PKPD adalah dinamik. Mungkin minggu ini kawasan itu dikenakan PKPD, minggu depan ia keluar dari PKPD,” katanya.

Related posts

Leave a Comment